Menghindari Riak

Assalamualaikum...sesi tazkirah pulak...saje nak berkongsi..samalah2 memperbaiki diri.



Sebelum meneruskan topiknya, ada satu cerita yang ingin dikongsikan di sini.

Kononnya pada satu masa (bila-bila pun yang anda mahukan, zaman dahulu ke sekarang ke atau masa depan pun tak kisah) terdapat seorang hamba Allah yang amat bijak dan memiliki ilmu (apa-apa ilmu pun tak kisah - anda sendiri tentukan) yang amat tinggi. Disebabkan kebijaksanaannya, dia menjadi rujukan seluruh umat manusia. Kerana itu mula timbul riak di hatinya. Dia mula takbur dan mula meletakkan harga yang teramat tinggi atas khidmat nasihat yang diberikan.

Pada suatu hari, datang seorang tua yang memiliki masalah lalu bertanya kepada ilmuwan tersebut. Dengan perasaan egonya, ilmuwan tersebut meletakkan harga yang begitu tinggi sehinggakan orang tua tersebuttidak mampu untuk membayarnya. Walaupun memerlukan penjelasan dan amat mengharapkan bantuan tetapi ilmuwan tersebut dengan egonya menolak untuk memberikan bantuan. Akhirnya dengan perasaan sedih, orang tua itu beredar - tanpa mendapat jawapan yang sewajarnya dari ilmuwan tadi.



Setelah orang tua itu beredar, ilmuwan tersebut dengan senyum berkata kepada dirinya sendiri... "Ah! soalan yang ditanyakan terlalu mudah untuk dijawab. Langsung tak mencabar mindaku. Hahahaha. Sedangkan apa yang perlu dilakukan hanyalah......."

Tiba-tiba lelaki tersebut terhenti dan terpinga-pinga. Sedangkan baru sedetik tadi dia tahu apa yang perlu dilakukan tetapi sekarang segalanya seolah-olah hilang begitu sahaja tanpa dia mampu mencari jawapannya. Lelaki tersebut hairan. Dia kembali membelek lembaran buku yang dimilikinya tetapi seolah-olah satu keajaiban, ilmu yang berkaitan dengan soalah orang tua tadi ghaib. Seolah-olah ilmu tersebut memang tidak wujud.

Termenunglah lelaki itu seraya berfikir..... terus berfikir mencari jawapan kepada persoalan orang tua tadi......



Kadang-kadang kita, secara tidak sedar, merasa riak dan takbur dengan ilmu yang kita ada. Memiliki lebih banyak ilmu dari orang lain akan menyebabkan kita bangga diri dan tidak sedar bahawa kita telah riak dengan apa yang kita miliki.

Tapi benarkan segala ilmu itu milik kita? Sudah semestinya tidak. Semua ilmu yang ada sebenarnya masih milik Allah dan selamanya milik Allah. Kita sekadar diamanahkan untuk menyebarkan ilmu tersebut (ilmu yang baik) agar dapat dimanfaatkan oleh sekalian umat. Atau juga sekadar untuk pengetahuan (ilmu yang buruk) agar dapat kita jadikan sempadan.

Tapi sering kita lupa sehinggakan kita riak dan takbur dalam memiliki ilmu. Kita sombong dan juga lokek (yang tidak bertempat) dalam menyebarkan ilmu. Kita lupa bahawa ilmu yang kita miliki masih tetap milik Allah dan atas rahmatNya kita memiliki ilmu tersebut. Dan atas rahmatNya juga kita tetap memiliki ilmu tersebut.

Sekiranya atas rahmatNya kita memiliki ilmu tersebut, sudah pasti sekiranya Allah menghendaki, dia mampu untuk menarik kembali ilmu tersebut baik dengan kita sedar atau tidak. Berpegang dengan kalimah "kun fa yakun", ingatlah bahawa Allah mampu melakukan apa sahaja ke atas ilmu yang di"pinjam"kan kepada kita.

Menghindari riak

Sebenarnya mudah sekiranya kita menghendakinya. Sesungguhnya kekuasaan Allah Maha Luas. Manusia dianugerahkan akal untuk berfikir dan ini merupakan rahmat darinya kepada kita. Sekiranya kita mengingati dan berpegang dengan itu, kita sepatutnya menyedari bahawa kita tidak memiliki apa-apa pun dalam dunia ini. Ini termasuklah ilmu yang kita miliki (kononnya). Jadi wajarkah kita memiliki perasaan riak dan takbur atas ilmu yang kita pinjam itu?

Sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri. Apakah kita tergolong dalam lingkungan orang yang riak ini? Nauzubillahi min zalik....

Semoga kita sama-sama mendapat rahmat serta keberkatan. Amin.

--------------------------------------------------------------------------------
Perlu dijelaskan di sini bahawa dalam bahagian

Kita sombong dan juga lokek (yang tidak bertempat) dalam menyebarkan ilmu.

masih memerlukan penjelasan lanjut lagi. Itu amat penting sebenarnya kerana dalam menuntut ilmu, kita tak patut mengatakan orang lain lokek ilmu. Yang perlu kita ingat ialah adab dalam menuntut ilmu. Itu topik lain. Dalam kes mengatakan orang lain lokek ilmu pulak, adalah tidak wajar sekiranya kita ingin menuntut ilmu dengan seseorang tetapi belum apa-apa kita dah mula mengatakan sesuatu yang tidak baik ke atasnya. Bagaimana nanti sekiranya dia menurunkan ilmunya kepada kita? Apakah kita mampu beroleh berkah atas ilmu yang diperturunkan kepada kita nanti?

Sebaiknya jangan buruk sangka ke atas orang lain dalam apa jua keadaan sekalipun. kerana kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Penting sekali, terima apa yang berlaku dengan hati terbuka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas apa yang dilakukan. Setiap sesuatu itu berlaku ada sebabnya dan hanya Allah yang tahu. Jangan terus menuduh atau menghina, mengata dan lain2. Sesungguhnya perkara tersebut, walaupun nampak sekecil2 peristiwa, sebenarnya boleh sahaja menimbulkan fitnah dan seterusnya mengakibatkan pelbagai dosa besar yang secara rela atau tidak, terpaksa ditanggung oleh orang yang pertama sekali mengeluarkan kata-kata tersebut.

Dengan kata lain, awasi setiap perkataan yang diluahkan baik melalui mulut atau apa-apa pun medium yang boleh difahami oleh orang lain kerana sesungguhnya mencegah adalah lebih baik dari mengubat. Dosa kepada Allah dapat kita terus bertaubat dan memohon keampunan darinya tetapi dosa kepada orang lain, sehingga diampunkan olehnya, kita akan terus menanggung dosa tersebut.

Waalahualam... mohon diperbetulkan mana yang salah. Agar dapat dimanfaatkan bersama.

Credit : Tikus

No comments on "Menghindari Riak"

Leave a Reply